Sekilas terpandang wajah dan susuk tubuhnya, aku diselubungi keraguan. Kalau nak diikutkan pada gaya; dengan penuh yakin aku boleh mengatakan yang dia seorang lelaki. Tak dapat dinafikan, dia seorang yang cukup kemas dan bergaya. Rambut pendeknya digayakan dengan gel rambut yang tak keterlaluan, kemeja putihnya nyata telah digosok dengan rapi, dipadankan pula dengan seluar jeans dan kasut jenama Dr. Cardin. Gabungan formal dan kasual yang menarik. Di tangannya sebuah kamera professional; matanya didekatkan pada lensa hanya apabila ada sesuatu yang betul-betul menarik minatnya. Dia nampak seperti seorang yang amat teliti dalam mencari sesuatu.
“Zana, siapa tu? The one with the camera?” tanya aku pada rakan yang turut hadir di karnival tersebut; tempat di mana aku pertama kali bertentang mata dengannya.
“OBVIOUSLY he’s the official cameraman,” balas rakanku dengan nada menyindir.
“He is the official cameraman ye?” aku sengaja menguji daya pemerhatian rakanku itu.
Zana memandang aku dengan keliru, masih tak dapat menangkap apa yang aku cuba sampaikan. “You ni kenapa?”
Aku sekadar menggelengkan kepala. Aku menunggu rakanku Natasha kembali duduk bersama-sama kami setelah membeli makanan ringan di gerai berdekatan. Aku yakin Natasha akan lebih faham dengan maksudku.
Elok sahaja Natasha melabuhkan duduknya, aku berkata, “Tasha, cuba you tengok orang yang tengah pegang kamera tu”
Natasha melontarkan pandangannya pada si dia. “Oh… interesting…” ujarnya.
Mendengarkan Natasha berkata begitu, Zana turut memandang dengan lebih teliti. “Hm… betullah. He’s cute. Quite handsome,” Zana cuba menyertai perbualan.
Aku dan Natasha mentertawakan Zana.
“Why? What’s so funny?” tanya Zana.
“Zana, she is cute and quite handsome,” Natasha membetulkan ayat Zana.
Dengan mata terbeliak, Zana memandang si dia sekali lagi. “You mean…? No way!” ujarnya dengan nada tak percaya.
“Hai, takkan you tak percaya cakap Tasha. Tasha kan ada pengalaman couple dengan orang macam tu,” kata aku.
Serta-merta, raut wajah Natasha berubah. Ada rona melankolik bermain di matanya. Begitulah reaksi Natasha setiap kali topik itu muncul. Suatu ketika dahulu, Natasha pernah ada hubungan dengan seorang perempuan yang berperwatakan lelaki- Lee namanya. Percintaannya mendapat tentangan hebat dari keluarga, membuatkan Natasha terpaksa memutuskan hubungan tersebut. Tetapi sehingga ke hari ini, Natasha tidak putus-putus mengatakan bahawa itulah hubungan terbaik dan terindah yang dia pernah lalui. Katanya Lee tidak seperti pasangan lain yang pernah bersamanya. Lee lebih romantik dan lebih peka terhadap keperluannya. Lee sentiasa mendahulukan Natasha dalam apa jua keadaan, dan layanan serta kata-kata Lee tak mungkin datang dari seorang lelaki sejati.
Sejauh mana kebenaran kata-kata Natasha? Untuk mengetahuinya, aku perlu mengalaminya sendiri. Memang benar; aku juga pernah mengenali Lee sebagai seorang kawan. Tapi mengenali seseorang sebagai seorang kawan dan seorang kekasih pastinya berbeza.
Dan untuk mengetahui perbezaannya, aku perlu mendekati si kacak di karnival itu… dan aku perlu pastikan yang satu hari nanti, aku lebih dekat dengannya daripada kamera kesayangannya.
* * *
“Serius? Dia setuju?”
Zana seolah-olah tidak percaya dengan berita yang aku bawa. Aku sekadar tersenyum sambil mengangguk.
Semalam, aku telah bertemu dengan si dia. Tanpa berdolak-dalik, aku katakan padanya yang aku perlukan pertolongannya. Aku ceritakan yang hubunganku dan teman lelakiku kini sedang goyah; dia sudah kurang memberikan perhatian padaku. Jadi, aku perlukan dia untuk membuatkan teman lelakiku rasa cemburu. Perjanjian ini tidak melibatkan sebarang bayaran; aku cuma inginkan masanya diluangkan bersamaku.
Aku tidak pasti apa yang membuatkan dia bersetuju. Mungkinkah pada cara pemakaianku pada hari itu? Adakah dia benar-benar sudah mengalami transformasi sebagai lelaki, sehinggakan naluri lelakinya juga begitu kuat?
Tapi aku rasakan tidak. Pada awal pertemuan, aku sedari satu perkara; amat mudah untuk aku berbual dengannya. Kami boleh berbual tentang pelbagai perkara. Dan aku dapat rasakan yang dia senang berbicara denganku. Dia juga seorang pendengar yang baik. Bila aku berbicara dengannya, aku dapat rasakan yang perhatiannya tidak berbelah-bagi. Aku membuat satu kesimpulan; pemikirannya tidak sedangkal lelaki tulen, di mana fokusnya berbentuk seksual. Orang sebegini lebih mementingkan keselesaan, dan keselesaan berinteraksi adalah salah satu daripadanya. Ini secara tak langsung membuatkannya lebih faham tentang apa yang seorang wanita inginkan.
“You memang liciklah. You memang dah nak break dengan Azlan pun kan?” duga Zana. Azlan merupakan teman lelakiku. Benar kata Zana; aku memang sudah merancang untuk memutuskan hubungan dengan Azlan. Perhubungan kami diibaratkan retak menunggu belah; cuma hubungan ini aku jadikan alasan untuk menjerat si dia.
Yang aku perlukan ialah masa. Masa untuk mengenalinya dengan lebih rapat; dan masa untuk membuatkan si dia jatuh cinta denganku. Barulah aku dapat mengalami sendiri bagaimana dicintai oleh seorang wanita.
* * *
Sepertimana yang telah aku jangka, aku menghadapi pelbagai dugaan ketika mendampingi si dia. Bekas teman lelakiku, Azlan sudah pastinya tercabar dengan keputusanku untuk mendampingi seorang ‘lelaki celup’ berbanding dirinya. Selain itu, terdengar juga suara-suara sumbang daripada rakan-rakanku selain Zana dan Natasha mengatakan aku wanita terdesak. Tidak cukup dengan itu, dugaan dari pihak si dia juga datang dalam pelbagai bentuk. Memandangkan dia seorang yang mempunyai ramai kenalan wanita dan pandai pula mengambil hati mereka, salah seorang daripada tunang kenalan wanitanya telah datang membuat kacau di tempat tinggalnya. Bekas teman wanitanya sendiri pernah datang mencarinya kembali, namun ditolak mentah-mentah di hadapan mataku sendiri. Hmm… mungkinkah si dia sudah benar-benar tertarik padaku, sehinggakan sanggup mengenepikan cinta lamanya?
Rakanku Zana berkali-kali menasihatkan aku agar aku sendiri tidak jatuh cinta padanya. Setiap kali dia berkata begitu, aku tertawa. Mustahil! Aku tahu hakikatnya dia seorang wanita…
Walaupun aku harus akui, ada waktu dan ketikanya… aku terlupa yang dia seorang wanita. Aku bisa hanyut dengan kata-kata manisnya, dengan caranya menyusun ayat dan yang lebih penting; dengan keikhlasannya. Ketika dia membawaku ke tempat-tempat indah yang keistimewaannya bukan terletak pada nilai wang ringgit yang dibelanjakan, aku biarkan diriku dimanjakan olehnya. Ketika dia bertungkus-lumus menyambut hari jadiku walaupun aku sengaja membatalkan temu janjiku dengannya di saat akhir, aku biarkan diriku merasa terharu dengan usahanya. Ketika dia berkongsi secebis kisah silamnya, aku biarkan tanganku mengusap lembut tangannya untuk menenangkan jiwanya yang kacau.
Ya, kadangkala aku terlupa yang nama asalnya ber‘binti’. Aku terlupa di sebalik kekacakan dan kesegakannya berupa dan berpakaian lelaki, bentuk badan fizikalnya tetap serupa denganku.
Ada satu peristiwa yang tak mungkin dapat aku lupakan. Ketika bersiar-siar dengannya di Melaka, tanpa disedari hari sudah lewat malam dan kami terpaksa bermalam di sana… kerana masa berjalan terlalu pantas ketika aku bersamanya. Tetapi kebanyakan hotel penuh dengan pelancong dan hanya ada satu hotel yang ada kekosongan; itupun sekadar satu bilik sahaja. Si dia telah memberikan dua pilihan kepadaku; untuk terus pulang ke Kuala Lumpur ataupun aku tidur di bilik sementara dia tidur di dalam kereta.
Aku tergamam seketika. Sanggup dia mendahulukan kepentinganku sebagai seorang wanita dan bertolak-ansur sehingga begitu sekali! Sedangkan tiada masalah kalau aku dan dirinya menginap di bilik yang sama- dan itulah yang telah aku cadangkan. Pada mulanya, dia kelihatan serba salah tetapi akhirnya dia bersetuju. Fikirku, seorang lelaki tulen tak mungkin begitu bertimbang-rasa.
Ada satu lagi kejadian yang telah berlaku pada malam itu. Sewaktu aku terjaga di tengah malam, aku lihat katilnya kosong. Dia telah meninggalkan sekeping nota yang berbunyi “Jun. Emergency. Don’t worry, will be back around 11 am. Really sorry. Please… wait for me…”
Mula-mula, aku risau. Mungkinkah dia sengaja meninggalkan aku di sini? Tak mungkin! Aku tidaklah mengenalinya dengan begitu lama, tapi aku rasa aku sudah cukup mengenalinya untuk mengetahui yang seorang gentleman sepertinya tidak mungkin berbuat demikian.
Dan jangkaanku tepat sekali. Dia seorang yang menepati janji. Dia telah kembali sepertimana yang tertera di dalam notanya, dan kisah di sebaliknya juga sebuah kisah yang mengharukan…
Bekas teman wanitanya telah terlibat di dalam sebuah kemalangan dan terlantar koma di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Dia mendapat berita daripada sahabat baiknya, Shan (seorang lelaki tulen) dan dia telah terus bergegas ke sana. Bayangkanlah, di tengah malam setelah penat seharian melayanku di Melaka, mendengarkan berita tentang wanita yang pernah dicintainya terlibat dalam kemalangan dia telah terus ke sisinya. Tindakan itu sendiri menggambarkan betapa si dia seorang yang amat setia. Duduk sebilik dengan wanita lain tidak cukup untuk menghalangnya daripada berbuat demikian…
Cemburukah aku?
Tidak. Tak mungkin. Aku cuma ingin lebih mengenalinya. Dan salah satu cara terbaik untuk mengenalinya… ialah melalui seseorang yang pernah menjadi cinta hatinya…
* * *
Aku bertemu Suliza, bekas teman wanitanya setelah aku mendapat tahu bahawa dia telah sedar dari komanya. Malah, aku telah menemuinya lebih awal daripada si dia sendiri, memandangkan informasi yang aku terima memudahkan aku berbuat demikian. Aku tidak dapat menjangka bagaimana reaksi Suliza ketika bertemu denganku, kerana aku akan memperkenalkan diriku sebagai teman wanita baru si dia; biar menimbulkan sedikit provokasi.
Suliza ternyata seorang yang berbeza dariku. Dia seorang yang lemah-lembut dan sopan-santun. Telah aku nyatakan yang aku pernah bertemu dengannya sekali sebelum ini; ketika si dia telah menolak kehadirannya. Di ketika itu, aku berasa hairan kerana Suliza seorang gadis bertudung; suatu ciri luaran yang membuatkan aku memperoleh persepsi yang dia seorang yang berpegang teguh pada agama. Masakan dia telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang wanita? Begitu kuatkah tarikan si dia?
Berikut merupakan perbualan antara aku dan Suliza…
Suliza: Kenapa awak datang sini?
Jun: Saya nak tahu tentang masa silam Amri…
Suliza: Kenapa? Dia milik awak dah sekarang. Kenapa awak perlu tahu tentang masa silam dia?
Jun: Saya nak tahu kenapa awak tinggalkan dia.
Suliza: Awak tak yakin dengan Amri?
Jun: Saya yakin dengan Amri. Sebab tu saya pelik kenapa awak tinggalkan dia.
Suliza: Saya ada tanggungjawab terhadap keluarga…
Jun: Jadi, saya ni tak ada tanggungjawab pada keluarga?
Suliza: Saya tak cakap macam tu. Cuma mungkin… keluarga awak lebih liberal daripada keluarga saya.
Jun: Tapi awak masih menaruh perasaan pada dia?
Suliza: (mengangguk)
Jun: Sampai bila?
Suliza: Sampai bila-bila.
Jun: Sampai awak bersuami? Berkeluarga?
Suliza: Perempuan mana yang boleh lupakan cinta pertamanya…
Jun: Lelaki pun tak boleh lupakan cinta pertamanya.
Suliza: Jadi? Awak takut? Takut yang Amri akan kembali pada saya?
Jun: Tak. Sebab saya kenal Amri. Dia orang yang berpegang pada janji. Dia dah janji pada saya, jadi dia takkan mungkir janji. Lagipun, awak dah hancurkan hati dia. Tak mungkin dia kembali pada awak.
Suliza: Jadi, apa tujuan awak datang jumpa saya?
Jun: Saya nak tahu; kalau awak betul-betul sayangkan dia, macamana awak boleh tergamak lukakan hati dia?
Suliza: Kalau awak di tempat saya, awak akan faham…
Jun: Saya dah pun di tempat awak sekarang. Saya hadapi macam-macam tentangan; dari keluarga, kawan-kawan. Kawan baik Amri, Shan, dah kena pukul dengan kawan bekas teman lelaki saya! Tapi tak mungkin saya tinggalkan Amri. Apa yang buatkan awak tergamak tinggalkan Amri?
Suliza: Awak tak ada hak nak tanya saya soalan ni…
Jun: Kalau awak betul-betul sayangkan Amri, awak akan beritahu saya. Supaya saya bersedia hadapi segala dugaan bila bersama Amri… supaya hati Amri tak terluka lagi…
Suliza: (diam)
Jun: Melainkan awak memang sengaja nak sakitkan hati dia. Kalau betul macam tu, tak perlulah saya risau. Saya rasa saya cukup sayangkan Amri untuk tak…
Suliza: Awak tahu tak… bila ayah saya dapat tahu tentang hubungan saya dengan Amri, dia baru lepas dapat serangan sakit jantung? Dan sebaik saja dia dapat tahu pasal hubungan tu, dia dapat serangan sakit jantung buat kali kedua?
Jun: (terus mendengar)
Suliza: Ayah saya seorang ahli usahawan ternama. Dia dapat tahu tentang saya dan Amri daripada sahabat lama yang juga kliennya. Sahabat ayah saya tu ada anak di universiti sama tempat saya dan Amri menuntut di German. Dunia ni tak cukup besar untuk saya dan Amri bina dunia kecil kami sendiri.
Jun: Lepas ayah awak tahu… awak terus putuskan hubungan dengan Amri?
Suliza: Saya lengahkan. Saya tak sampai hati. Tapi pada masa yang sama, ibu mendesak. Katanya keadaan ayah tak sihat dan berita ni membuatkan keadaannya lebih teruk; saya zalim kalau saya seksa ayah macam tu…
Jun: Tapi Amri macamana? Awak tak rasa awak berlaku zalim pada Amri kalau awak tinggalkan dia setelah awak bagi dia harapan?
Suliza: Kalau awak di tempat saya, apa yang awak buat?
Jun: Saya yakin yang Amri boleh jaga saya. Kita orang perempuan cuma perlukan keyakinan tu. Kalau tak, takkanlah ada pepatah Melayu yang bunyinya, “Buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan”…
Suliza: Awak hidup dalam dunia idealistik…
Jun: Tak, saya seorang yang realistik. Tanyalah pada sesiapa yang kenal saya.
Suliza: Jadi awak yakin yang hubungan awak dan Amri ni akan berkekalan sampai bila-bila?
Jun: Kenapa tidak? Awak sendiri cakap yang awak akan sayang Amri sampai bila-bila. Bezanya ialah saya sertakan kasih sayang saya tu dengan komitmen.
Suliza: Baguslah kalau macam tu…
Jun: You don’t sound convinced…
Suliza: What do you want? My blessing?
Jun: Don’t think too highly of yourself.
Suliza: I think we’re done here. You know where the door is.
Jun: (berjalan ke pintu, kemudian berpaling) If you think you did the right thing, then you need to ask yourself… why does it feel so wrong?
Dan sebaik saja aku keluar, aku terdengar esakan Suliza di sebalik pintu… Betapa hancurnya hatiku kerana, Suliza masih menyimpan perasaan sayang yang amat mendalam terhadap Amri. Ku amati esak tangisnya itu. Ya.. Terlalu dalam.Setia pada Amri. Bagaikan aku merampas Amri dari genggaman tangannya.Betapa bersalahnya aku pada Suliza.
Ku tinggalkan hospital itu dengan keadaan sedikit tertekan. Bertanya pada diriku, apakah aku harus terus begini. Membiarkan diri terus di belenggu rasa begini? Amrikah cintaku sebenarnya...
No comments:
Post a Comment