Clik For Money...TQ

Tuesday, July 27, 2010

Rindu Padanya


Rindu padanya

Ya.. Aku rindu padanya. Sebab malam 27 Julai 2005, aku masih berada di Empire Tower. Melaksanakan final documentation untuk di serahkan kepada Client (OGPC) pada esok hari. Tetapi, hati ku ketika itu ssangat kusut. Ku leraikan kekusutan di jiwa dengan mendengar lagu-lagu yang berkumandang di desktopku.

Jam menunjukan pukul 12.30 malam. Aku masih bersama Ana dan Shafiq. Fail-fail bertaburan di atas lantai. Aku agak semak waktu itu. Di benakku teringat dengan keadaan ibu di rumah. Ibu dah makan ke belom. Sudah mandikah dia. Ya ibu sakit. Menghidapi breast cancer untuk tahap 4. Kami sekeluarga terpaksa berpura agar ibu tidak mengetahuinya. Namun jauh di sudut hati, aku tahu… Ibu sudah ppun duga dengan takdirnya itu.

Tiba-tiba deringan telefon berbunyi. Nama ibu tertera di skrin Nokia 3310 ku.”Assalammualaikum….”

“Walaikumsalam…IN kat mana?”Tanya dengan lemah.

“ Dekat office mak.. IN balik lambat sikit. Nak hantar dokumen kat Client esok…” Balasku lembut

“ Kije rerajin. Mak rindukan IN nie.. Anak mak dah makan ke?”

Tersenyum aku mendengarnya” Dah.. Siapa suap mak tadi.. Mak makan apa.. Banyak tak mak makan?” Tanya ku bertalu-talu yang cuba menyembunyikan kesedihan di hati.

“ Adik suap tadi.. “ Balasnya pendek.

“ Tak pe.. esok kita sarap sama. Nanti IN suapkan pula. Nanti kita beli nasik lemak simpang. Mak jangan tak makan tau… IN sayang emak. IN nak buat keja dulu.. Dah siap nanti, IN balik. Jangan lupa makan ubat…” pujukku. Walhal aku sendiri tidak pasti jam berapa aku akan pulang ke rumah.

“ Jangan lupa balik tau..”Pesanannya.

“ Ok..”.

Aku segera menyambung kerjaku. Menyiapkan segala dokumen yang ada dengan sepantas mungkin. Ya, aku telah berjanji dengannya. Berjanji untuk pulang dengan kadar segera. Ku lihat Shafiq beredar untuk pulang. Ya, Shafiq adalah Penolong Pengurus untuk Jabatan Perolehan kami. Tentu dia boleh pulang awal.

“ Kalau boleh esok pukul 8 semua dah setel.”Pesan Shafiq ringkas sebelum beredar..

Kami berdua sekadar menganggukkan kepala sahaja.Jam di jam menunjukkan 2.30 pagi. Masih banyak yang belum di bereskan.Hatiku makin tidak keruan. Bagaikan ada sesuatu yang bakal terjadi. Namun ku pujuk hati ini agar tenang dengan keadaan semasa.

Setelah berhempas pulas, hampir jam 5 pagi kami menyiapkannya.

“ IN.. Tak payah balik. Risau aku kau balik naik motor nie. Tidur rumah aku jelah. Nanti esok terus gi office..” Pujuk Ana.

Aku bersetuju dengan cadangannya memandangkan aku terlalu letih dengan kerja-kerja tadi.Kami berdua pun pulang ke keramat dengan selamatnya.



************************************



“ IN, balik..Emak tengah nazak” Ringkas sahaja perbualan telefon dengan ayah sebentar tadi. Kini, aku menunggang motosikal dengan begitu pantas. Semua lampu isyarat tidak ku hiraukan. Bagiku, aku telah melakukan dosa dengan ibu kerana memungkiri janji untuk bersarapan bersamanya.

Aku menyalahkan diriku sepenuhnya. Betapa aku menyesalinya. Hati merintih kesedihan. Sempatkah aku memohon maaf darinya? Mahukan dia memaafkan aku? Mampukah aku hidup tanpanya disisi? Mampukah..Mampukah… Pelbagai persoalan bermain di benakku kini. Ya Allah… Ampunkan lah aku kerana memungkiri janji dengan ibu.

Setibanya di rumah, ku lihat Pakcik Rahman bersama isterinya. Alunan yassin berkumandang di dalam rumah. Adik menangis di sisi ibu. Makcik-makcikku, abangku dan ayah, masing-masing menungguku.

“ IN anak mak…” Ucap ibu lemah.

Aku merapatinya lantas mengenggam tangannya yang makin berkedut itu.

“Maafkan mak sebab tak dapat sarap sama. Mak sayangkan IN. Mak Maafkan IN. Ingat nak, walau apa sekalipun yang berlaku dalam rumah ini, mak amanahkan IN menjadi penyambung talian keluarga ni. Jangan tinggalkan adik. Kahwinkan dia dengan Syukri.
Jangan biarkan abang terumbang ambing dengan hidupnya. Bimbing dia. Yang penting, sayangi ayah…Dia tetap ayah IN…. Bila mak tak der nanti.. Lawat makcik-makcik IN. Diaorang semua sayangkan IN…” Bisiknya lemah.

“ Insyaallah..IN tunaikannya mak…” Balasku. Tanpa kusedari air mata jatuh di ruang pipi. Ya, aku menangis.

Selesai sudah azan Zohor, ibu pergi menghadap Ilahi. Aku menangis sendirian melihat pemergian ibu.

“ Kau pergi mana semalam… Tido umah Ana kan.. Mak carik kau tau tak!!! Mak bangun mak… Adik tak boleh hidup tanpa mak” rintihnya berulang kali.

Aku sekadar diam membisu tetapi, hati ini merintih kesedihan. Berulangkali aku salahkan diriku.Menyesali dengan perbuatanku berulang kali.Air mataku gugur dengan derasnya. Ya Allah.. Apa yang telah aku lakukan ini.

Ku lihat keadaan disekelilingku begitu asing, Tanpa orang yang paling aku kasihi. Betapa aku amat menyintai ibuku sendiri kerana dialah seorang sahabat sejati dalam hidupku. Tiada penggantinya. Biarpun aku sering di sisinya, namun.. Aku masih belum puas untuk menjaganya. Bagiku dia amat teristimewa.

Aku duduk memencilkan diriku di satu sudut. Along menghampiriku. Ku lihat raut wajahnya begitu sugul. Ya aku memahami tetapi aku tak mampu memberi kekuatan padanya sedangkan… Aku sendiri begitu lemah untuk menghadapinya kini.

Mak Ton menghampiri lalu memelukku seraya berkata” Sabar IN.. DIA menyayanginya.. IN redha ya”.



Ya .. Mak Ton selalu ada ketika arwah ibu sakit. Dia tahu betapa aku dan adik bersusah payah menjaga arwah ibu dahulu. Mak ton melihat segala kesulitan yang kami berdua hadapi. Mak Ton jua lah yang selalu melawat arwah ketika dia sedang sakit. Banyak jasa Mak Ton yang tidak mungkin mampu aku membalasnya.

“ IN, mari mandikan jenazah”Pujuk Kak Ton. Aku sekadar menuruti langkahnya.

“ IN… Mandikan bahagian atas mak yea tapi jangan menangis… Selawat dah baca al Fatihah” Ucap Makcikku Lisa dengan nada sedih. Aku sekadar mengangguk.

Air mengalir di setiap celahan anggota tubuh badannya. Ku usap wajahnya yang tersenyum dengan lembut. Bercahaya wajah ibu bagaikan dia tahu, ada sesuatu yang menantinya di sana. Ku urut jari jemari ibu seperti selalu untuk kali terakhir dan, kukucup dahinya. Segala-galanya begitu lembut,hinggakan air mataku akhirnya gugur jua tanpa kusedari.

Ku lihat kain kapan telah tersedia. Segala-galanya di lakukan bersama. Sepanjang aktiviti tersebut, aku hanya mendiamkan diri. Tidak terdaya untuk ku ukirkan senyuman seperti selalu, apa ntah lagi untuk aku bersuara.Ku ikat kain kapannya setelah jenazah di qiyamkan. Wajah ibu di ketika itu sangat tenang. Lebih tenang dari biasa.

Ku kucup dahinya buat kali terakhir lalu duduk bersandar di satu sudut sepi. Orang ramai mula mengangkat jenazah ibu dan berlalu pergi meninggalkan aku. Keadaan sekeliling menjadi sunyi seketika. Tiada jeritan dari anak buahku Aiman seperti selalu hanya persoalan yang ditanya padaku” Nenek gi mana IN.. Nape nenek kene selimut…”

Aku diam kan diri. Ana datang menghampiriku. Di peluk lenganku sekuatnya. Dia menangis teresak-esak di bahuku.

“Maafkan aku IN.. Maafkan aku… Salah aku suruh ko tido rumah aku malam tadi..”
Tidak terbalas aku dengan ucapannya itu. Ku berlalu pergi tinggalkan dia bersendirian. Aku perlukan ketenangan.. Ketenangan yang boleh mendamaikan hati ini. Betapa aku menyesali perbuatan ku semalam, masih tidak mampu ku bayangkan.

Masih terngiang-ngiang pertanyaan adik, di mana aku semalam. Dan, aku tiada jawapan untuk itu.

Selepas pemergian ibu, hampir 3 bulan kehidupan aku tidak menentu. Ibu pernah berkata, kesunyian itu banyak membunuh hatinya setelah ketiadaan nenek. Tiada tempat untuk dia mengadu. Segala permasalahan yang dihadapi tersimpan kemas dalam hatinya. Perasaannya gundah kerana beban yang ditanggunginya tiada siapa yang mampu menghuraikannya.

Ya.. Benar kata ibu. Aku jua menghadapinya. Yang pasti, aku begitu menyesalai dengan apa yang telah berlaku. Benar, yang terjadi kan tetap terjadi. Aku perlu menghadapinya sendiri. Tiada kata semangat yang bias ku dengar lagi dari ibu. Betapa aku merinduinya senantiasa. Betapa aku terlalu merindui belaiannya dan betapa aku rindu kata-kata bebelan darinya.Betapa aku merindunya.. Terlalu merinduinya.

No comments: